Kerana Rasa Kita Tidak Sama

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Alam itu terbentang luas, tapi kadang-kadang yang sempit itu bukannya alam, tapi mata hati bagi yang melihatnya.
Alam itu terbentang luas, tapi kadang-kadang yang sempit itu bukannya alam, tapi mata hati bagi yang melihatnya.

Ada orang, baginya rasa bahawa kain baju itu hanya layak dijadikan sebagai kain buruk. Dan bagi orang selainnya, baju yang dijadikan kain buruk itu tadi masih jauh elok untuk dipakai sehariannya. Jauh sekali untuk dijadikan sebagai kain buruk.

Ada orang, melihat tawa-tawa kecil itu sebagai suatu kejelikan; perlukah untuk berasa gembira hanya kerana hal yang tidak sepatutnya? Hal yang biasa-biasa saja pun. Tapi bagi sesetengah orang, hal-hal yang menyebabkan tawa-tawa kecil itu sangat membahagiakan. Kerana didalamnya ada nilai kemanusiaan.

Ada orang, melihat suatu barang itu sebagai tiada. Tidak mengandungi makna. Hanya layak untuk dibuang ke dalam tong sampah. Tapi bagi segelintir orang, barang yang dilihat tiada makna itu adalah antara yang bermakna dalam hidupnya. Mungkin zahirnya barang itu kelihatan kecil, tiada harga. Tapi nilai sentimental yang ada pada barang itu menjadikan ia sesuatu yang berharga. Dan tidak mungkin terganti oleh apapun.

Sekarang kamu lihat kan, betapa rasa pada jiwa-jiwa manusia itu tidak sama?
.. begitulah jiwa-jiwa manusia.

Jangan merendahkan rasa-rasa manusia lain yang ada disekelilingmu, selagi ia tidak melanggar moral-moral manusia dan batasan syariah, maka bersahajalah. Kerana Islam itu sendiri meraih kegembiraan dan kebahagiaan. Itu namanya kebersamaan.

Mari belajar menghormati setiap rasa.
Agar nanti kamu tidak tenggelam dalam masa.

Semoga ALLAh merahmati.