Bismillahirrahmaanirrahiim.
Hari ini, saya hanya ditemani oleh anak-anak yang menjadi sebagai tali pengikat yang mengutuhkan lagi ikatan kasih-sayang antara kita. Mereka semakin hari semakin membesar. Terasa bahagia melihat mereka membesar didepan mata. Ketidakhadiranmu di sisi, sedikit sebanyak mengundang kesayuan kepada mujahid dan mujahidah kecil itu. Tidak mengapa, mereka masih kecil suamiku.. Masih belum mengerti.
Dan jauh juga disudut hatiku, aku juga merinduimu.
Mengimbas kembali zaman perkenalan tanpa bersua muka. Kamu memerhatikan diriku dari jauh dan dalam diam kamu mendekati keluargaku untuk berkenalan dan mengenal hati budi bakal isterimu. Masa itu, dengan kesibukan berdakwah, belajar dan belajar, aku tidak menghiraukan perkhabaran dari Ummi bahawasanya ada seorang lelaki yang merisik akan diriku.
“Kalau betul-betul nak jadi, tunggu Ana habis belajar dulu Ummi,” bicaraku pendek.
Tiada dalam sangkaanku kamu benar-benar menunggu selama 3 tahun lebih untukku menghabiskan pengajianku. Pelik! Itu yang berlegar dalam kepalaku. Sanggupnya kamu suamiku..
Selepas 7 bulan kutamatkan pengajianku, akhirnya rombongan bertandang ke rumah. MashaAllah. Bermula segalanya…